Majlis Ramah Mesra Rejimen Renjer Diraja Bersama Black Hackle Club

Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. 20 Jun.  Majlis Ramah Mesra Rejimen Renjer Diraja Bersama Black Hackle Club telah dilaksanakan bertempat di Wisma Perwira 1 RRD dengan kehadiran yang sangat menggalakkan dari ahli Black Hackle Club sendiri, juga kehadiran pegawai-pegawai RRD yang masih berkhidmat termasuklah Pegawai Memerintah dari beberapa batalion Rejimen Renjer Diraja. Acara yang julung-julung kali diadakan ini, antaranya bertujuan untuk mengeratkan hubungan baik diantara pegawai yang sedang berkhidmat dan bekas-bekas pegawai kor Renjer yang telah bersara dan meninggalkan perkhidmatan.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Kor Renjer iaitu Brig Jen Shamshor bin Jaafar, diikuti ucapan balas oleh Pengerusi Black Hackle Club, Brig Jen (B) Dato’ Nazrul Edgar bin Abdullah. Acara juga menyaksikan penyerahan buku Memoirs – Malaya and Borneo at War terbitan Malaysian Armed Forces Chinese Veterans Association (MACVA) setebal 562 mukasurat yang disumbangkan oleh oleh Kapt (B) Mohd Nasir Abdullah.

Dalam ucapannya, Pengerusi Kor Renjer Diraja mengucapkan selamat datang kepada semua yang hadir dan beliau sangat teruja mengumumkan bahawa pasukan Batalion Renjer diseluruh negara digalakkan untuk mengadakan acara seumpama ini dalam jangkamasa terdekat untuk mengesan dan mencari veteran di lokaliti masing-masing. Selain itu, dicadangkan acara BBQ juga diadakan kemudian.

Black Hackle Club yang diterajui oleh Brig Jen (B) Dato’ Nazrul Edgar selaku Pengerusi sangat positif menyambut baik kerjasama yang erat dan utuh melalui aktiviti seperti ini. Beliau juga mengharapkan lebih ramai lagi veteran pegawai dari Kor Rejimen Renjer DiRaja segera mendaftar dan menjadi sebahagian dari keluarga besar kelab atau persatuan ini.

Seperti acara pertemuan dan aktiviti yang lalu, mereka yang hadir sangat teruja dengan pertemuan sebegini dan terlalu banyak cerita antara mereka setelah sekian lama tidak bertemu. Banyak kisah, nostalgia dan cerita lama juga muncul. Dalam mengingati peristiwa bersejarah ini, acara bergambar beramai-ramai juga dilaksanakan. Lt Jen (B) Datuk Effendi selaku penasihat Black Hackle Club juga hadir untuk lebih memeriahkan acara.

Sehingga kita bertemu lagi dalam acara yang akan datang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *