Sarawak Rangers: Sejarah pasukan tertua dari Bumi Kenyalang

Disalin dari airtimes

by Zulfadhli Azmie 16 September 2025

Dalam lipatan sejarah ketenteraan Malaysia, nama Sarawak Rangers terukir sebagai pasukan yang membawa identiti tersendiri dengan keberanian luar biasa, kepakaran menjejak musuh serta kecekapan beroperasi di medan hutan.

Dikenali dengan gelaran “The Headhunters”, mereka bukan sekadar unit tempur tetapi juga simbol semangat juang yang mengikat tanah Borneo dengan keselamatan negara sejak abad ke-19 hingga ke era Malaysia moden.

Jejak awal pasukan

Sarawak Rangers ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1862 oleh Raja Putih kedua, Charles Brooke. Namun benih kepada kewujudan pasukan ini bermula lebih awal melalui kumpulan “fortmen” yang dibentuk pada 1846 dengan kekuatan seramai 32 orang anggota untuk mempertahankan Kuching.

Pada peringkat awal, pasukan kecil berperanan dalam menjaga kubu, melindungi sempadan dan memelihara keamanan di wilayah Sarawak.

Di bawah pimpinan William Henry Rodway dan kemudian Mejar F. A. Walter, Sarawak Rangers yang pada ketika itu berjumlah sekitar 120 anggota mula dikenali sebagai pasukan yang menguasai taktik tempur hutan dan kepolisan umum.

Anggota Sarawak Rangers datang daripada pelbagai latar, termasuk orang India dan Jawa, namun majoritinya adalah kaum Iban yang terkenal dengan ketangkasan di hutan.

Pakaian seragam mereka berwarna putih, simbol kepada identiti yang tersendiri, manakala Kuching dijadikan ibu pejabat utama dengan penempatan unit kecil di Miri, Limbang, Kapit dan Trusan.

Mereka dilengkapi dengan senjata api Barat, meriam, serta senjata tradisional, manakala kubu-kubu strategik di muara sungai dan bandar menjadi pangkalan utama operasi mereka.

Misi di medan pertempuran

Tugas utama anggota Sarawak Rangers ialah memastikan keamanan dan keselamatan negeri, selain bertindak pantas menangani sebarang kekacauan yang tercetus di Sarawak.

Setiap anggota diasah untuk menguasai cara bertempur dan menjejaki musuh di dalam hutan, terutama sekali kelebihan anggota yang berasal daripada kaum Iban yang sudah dianggap menyatu dan terbiasa dengan persekitaran hutan di Sarawak.

Latihan mereka juga unik kerana tidak pernah berlandaskan piawaian tetap. Setiap komander memperkenalkan gaya dan pendekatan sendiri, menjadikan setiap kumpulan renjer terbentuk dengan kelebihan yang tersendiri.

Namun, peranan mereka tidak terhenti pada operasi ketenteraan semata-mata. Sarawak Rangers turut berkhidmat dalam pelbagai aspek lain termasuk menumpaskan pemberontakan, membanteras ancaman kongsi gelap, melaksanakan hukuman bunuh, bahkan terlibat dalam istiadat negeri. Menjelang abad ke-20, kekuatan pasukan ini bertambah sehingga melebihi 500 anggota.

Pembubaran dan penubuhan semula

Pada tahun 1932, Sarawak Rangers dibubarkan dan digantikan dengan Sarawak Constabulary. Namun, keadaan berubah drastik apabila Perang Dunia Kedua meletus dan Jepun menyerang Sarawak pada tahun 1942.

Beberapa bekas anggota Sarawak Rangers cuba bangkit menentang, tetapi kekuatan tentera Jepun terlalu besar untuk ditandingi. Ramai daripada mereka akhirnya berundur ke pedalaman dan kembali kepada kehidupan asal.

Walau bagaimanapun, apabila Jepun berada di ambang kekalahan, bekas anggota ini muncul semula. Kali ini mereka berganding bahu dengan tentera Australia untuk menamatkan pendudukan Jepun di Sarawak. Kerjasama itu menjadi bukti bahawa semangat setia dan keberanian mereka tidak pernah pudar, meskipun organisasi asal sudah lama dibubarkan.

Selepas perang berakhir, Sarawak Rangers dihidupkan kembali di bawah kawalan kolonial British. Mereka kembali ke gelanggang operasi dan sekali lagi memainkan peranan penting, khususnya ketika Darurat Malaya antara tahun 1948 hingga 1960.

Pertempuran di Medan Semenanjung

Pasukan penjejak hutan dari Borneo ini mula dikenali oleh masyarakat apabila mereka dibawa ke Semenanjung untuk menentang gerila komunis. Kejayaan mereka dalam menjejak, menyusup dan menyerang musuh menjadikan mereka aset yang sangat berharga.

Antara kisah paling bersejarah ialah pertempuran di Hulu Perak pada awal 1950-an. Berbekalkan senjata ringan dan keberanian luar biasa, mereka meredah hutan selama berhari-hari bagi menjejaki jejak komunis.

Mereka telah melakukan serangan mengejut yang dilancarkan pada waktu subuh bukan sahaja memusnahkan kem musuh, malah menggugat moral anggota komunis. Kejayaan itu mengangkat reputasi Sarawak Rangers ke tahap yang lebih tinggi, dengan pujian diberikan oleh pihak British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Gelaran “The Headhunters” ini menggambarkan bagaimana mereka digeruni oleh musuh kerana ketepatan, ketangkasan dan semangat juang yang tidak pernah mengalah.

Mereka tidak sekadar pasukan sokongan, tetapi menjadi tulang belakang operasi menentang komunis di hutan-hutan Semenanjung. Kejayaan mereka juga mengukuhkan keyakinan bahawa anak-anak Sarawak mampu berjuang setanding dengan mana-mana pasukan elit dunia.

Penglibatan Sarawak Rangers tidak berakhir di situ. Mereka juga terlibat dalam Konfrontasi Borneo antara Malaysia dan Indonesia pada 1963 hingga 1966, satu lagi episod getir yang menguji ketahanan negara muda.

Legasi diteruskan Rejimen Renjer Diraja

Pada tahun 1963 juga, dengan terbentuknya Malaysia, Sarawak Rangers secara rasmi ditransformasikan menjadi Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD). Walaupun identiti asal mereka berubah, roh dan tradisi kepakaran hutan kekal diteruskan dalam struktur Tentera Darat Malaysia (TDM).

Hari ini, legasi Sarawak Rangers dikenang sebagai simbol keberanian, pengorbanan dan kecekapan tempur dalam mempertahankan tanah air.

Dari kubu-kubu di tebing sungai Sarawak pada abad ke-19, ke medan perang hutan Semenanjung semasa Darurat, hinggalah kepada pertempuran sempadan era Konfrontasi, Sarawak Rangers membuktikan bahawa semangat kental dan keberanian anak Borneo menjadi sebahagian penting dalam sejarah pertahanan negara.

Julukan “The Headhunters” akan terus hidup sebagai lambang kehebatan mereka di medan juang, manakala warisan mereka kini diteruskan oleh Rejimen Renjer Diraja Malaysia yang masih setia mengekalkan kepakaran dan semangat juang generasi terdahulu.-airtimes.my

#AirTimes #SarawakRangers #RejimenRenjerDiraja #TheHeadhunters #SejarahKetenteraan #DaruratMalaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *