Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Rejimen Pasukan-pasukan Rejimen Renjer Diraja Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis

Sumber: Facebook Rejimen Renjer Diraja

KANGAR: Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Rejimen Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis. Istiadat perbarisan ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis merangkap Kolonel Yang Dipertua (Kol YDP) Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD). Baginda turut diiringi oleh DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Tuanku Raja Perempuan Perlis.


Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Tuanku Raja Muda Perlis, serta DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Tuanku Raja Puan Muda Perlis.
Istiadat perbarisan ini dianggotai oleh 28 pegawai dan 443 anggota lain-lain pangkat (LLP) dimana 9 Panji-Panji Pasukan Rejimen Renjer Diraja diarak serentak sebagai tanda penghormatan kepada DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Kol YDP RRD dan KPTD, bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda.

Majlis diakhiri dengan lawatan ke Pameran Diraja. Dalam acara tersebut, Brigedier Jeneral Shamshor bin Hj Jaafar – Pengerusi RRD dan isteri, Puan Parida binti Hassan menyembahkan cendera kenangan kepada DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis – YAB Tuan Mohd Syukri bin Ramli bersama isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis – YB Tuan Rus’seli bin Eizan, Setiausaha Negeri Perlis – YB Dato’ Rahimi bin Ismail bersama isteri, Panglima 2 Divisyen – Mejar Jeneral Dato’ Hj Fazal bin Hj Abdul Rahman bersama isteri, pegawai-pegawai kanan TD, RRD dan KPTD serta Ketua-Ketua Jabatan Agensi Awam Negeri Perlis dan tetamu kehormat yang lain.

 

 

‘Agi Idup Agi Ngelaban*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *